Wednesday, December 16, 2009

Kisah Arnab Dan Kura


Suatu masa yang dahulu, Sang Arnab dan Sang Kura-kura saling mencabar satu sama lain tentang siapa yang terpantas dan akhirnya mereka bersetuju untuk mengadakan perlumbaan. Perlumbaan ini akan menentukan siapa lebih pantas. Sesiapa yang sampai lebih awal di garisan penamat yang dipersetujui dikira sebagai pemenang.


----------------------------


Perlumbaan Pertama:


Perlumbaan pun bermula. Sang Arnab memecut pantas. Di separuh jalan, dia memandang ke belakang dan melihat Sang Kura-kura masih jauh. Jadi Sang Arnab pun berehat dibawah pokok dan tertidur. Sang Kura-kura secara perlahan dan konsisten memotong Sang Arnab dan muncul sebagai juara perlumbaan tersebut. Sang Arnab terjaga dan menyesali apa yang terjadi.


(Pengajaran: Perlahan-lahan dan konsisten membawa kejayaan).



Bersambung..


----------------------------


Perlumbaan Kedua:


Sang Arnab kecewa dengan kekalahan ini. Sang Arnab membuat kajian untuk mengkaji sebab-sebab kekalahannya kepada Sang Kura-kura. Sang Arnab mendapat jawapan bahawa dirinya terlalu berkeyakinan tinggi, tidak berhati-hati dan terlalu sambil lewa.


Jika dia menyelesaikan ketiga-tiga masalah tadi, adalah mustahil dia akan kalah. Jadi Sang Arnab mengajak Sang Kura-kura untuk mengadakan perlawanan kedua. Sang Kura-kura bersetuju.

Kali ini Sang Arnab memecut dari garisan permulaan sehingga garisan penamat. Dia memenangi pertandingan dengan meninggalkan Sang Kura-kura jauh ketinggalan di belakang.


(Pengajaran: Pantas dan konsisten dapat menewaskan perlahan-lahan dan konsisten. Jika dalam sesuatu institusi, terdapat seorang pekerja yang lambat dan konsisten dan seorang lagi pantas dan konsisten. Sudah tentu, individu yang pantas dan konsisten akan menjadi pilihan kita. Lambat dan konsisten adalah baik tetapi pantas dan konsisten adalah lebih baik).



Bersambung..


----------------------------


Perlumbaan Ketiga:


Kali ini Sang kura-kura pula memikirkan strategi untuk menang. Sang Kura-kura menyedari bahawa jika format pertandingan seperti sedia ada, adalah mustahil bagi Sang Kura-kura untuk menang. Strategi terbaik adalah mengubah format perlumbaan.Setelah berfikir panjang. Sang Kura-kura mencabar Sang Arnab untuk perlumbaan ketiga. Kali ini dengan laluan yang dikemukakan oleh Sang Kura-kura adalah sedikit berbeza dari laluan asal. Sang Arnab bersetuju.

Perlumbaan dimulakan. Berbekalkan komitmen yang ada, Sang Arnab memecut pantas dan terhenti di sebuah sungai yang besar. Garisan penamat adalah beberapa kilometer diseberang dari sungai ini. Sang Arnab tidak tahu berenang. Sang Arnab berhenti di tebing sungai dan memikirkan tentang apa yang patut dilakukan sekarang. Pada masa yang sama pula, Sang Kura-kura berjalan perlahan-lahan, setibanya di sungai, dia berenang ke seberang dan kemudiannya berjalan semula sehingga tiba di garisan penamat. Sang Kura-kura menang.


(Pengajaran: Kenalpasti kelebihan diri anda, cebur dalam bidang yang anda mempunyai kelebihan).



Bersambung..


----------------------------


Perlumbaan Keempat:


Setelah 3 kali perlumbaan. Sang Arnab dan Sang Kura-kura telah menjadi rakan karib. Mereka berbincang bersama. Mereka mendapat idea baru tentang cara meningkatkan kepantasan perlumbaan mereka. Mereka bersetuju untuk berlumba, tetapi bukan sebagai pesaing tetapi sebagai satu pasukan. Perlumbaan dimulakan. Sang Arnab mendukung Sang Kura-kura dibelakangnya dan memecut pantas sehingga ke sungai yang besar. Setibanya di sungai, Sang Arnab pula berada di atas Sang Kura-kura yang sedang berenang. Setibanya di seberang sungai, mereka bertukar posisi sekali lagi dan sampai ke garisan penamat dengan jayanya. Mereka merasa lebih puas dan berjaya berbanding apa yang mereka telah lalui sebelum ini.


(Pengajaran: Walau sehebat mana pun seseorang individu, pasti terdapat bidang yang individu ini lemah dan orang lain lebih baik berbandingnya. Oleh yang demikian, adalah bagus kita bekerja dalam satu kumpulan dengan menggunakan kelebihan yang ada pada setiap orang).



di petik dari: http://syaidinafarm.blogspot.com/

Thursday, December 10, 2009

Praktikkan Dalam Kehidupan









Bilakah Doaku Akan Dimakbulkan


Apabila Allah Cepat Memakbulkan Doamu, Maka Dia Menyayangimu..

Firman Allah, maksudnya: "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu mereka): Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul."
(Surah al-Baqarah: 186)


Apabila Allah Lambat Memakbulkan Doamu, Maka Dia Ingin Mengujimu..

Menurut al-Khatabi: "Jika Allah tidak menjawab doa seseorang, Dia akan memberikan kepadanya ketenangan dan kelapangan dalam hatinya atau mengelakkan dirinya daripada kecelakaan, atau menggantinya dengan pahala." Menurut Hukama: "Manusia menyangka doa mereka tidak dimakbulkan, sedangkan ia dimakbulkan melebihi daripada apa yang dipohon, atau ia menolak dengan musibah atau penyakit lebih banyak daripada apa yang dipinta, atau diberikan ganjaran pada hari Kiamat."


Apabila Allah Tidak Memakbulkan Doamu, Maka Dia Merancang Sesuatu Yang Lebih Baik Untukmu

Firman Allah, maksudnya: "Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik untuk kamu, dan boleh jadi kamu suka pada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua Yang Maha Mengetahui (semua itu) sedang kamu tidak mengetahui."
(Surah al-Baqarah: 216)


Oleh Itu, Sentiasalah Bersangka Baik Kepada Allah..

Firman Allah SWT, maksudnya: "Aku bersama sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku, maka bersangka tentang Ku apa sahaja yang kamu ingini." (Hadis Qudsi). Ingatlah bahawa, setiap apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.. Sama ada kita bijak menilai dari mata hati.. Tepuk dada, tanya iman.. Sesungguhnya, Dialah sebaik-baik perancang.. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim.. Sebagaimana Engkau telah menguji kami, berikanlah kami jalan-jalan untuk meyelesaikan masalah kami.. Berikan kami jalan-jalan untuk menyelesaikan masalah kami.. Berikan kami jalan-jalan untuk menyelesaikan masalah kami..

Langit Dan Bumi


Dahulukala, langit dan laut saling jatuh cinta. Mereka saling menyukai di antara satu sama lain. Oleh sebab sangat sukanya laut terhadap langit, warna laut sama dengan warna langit.

Setiap senja datang, si laut dengan lembut sekali membisikkan kata-kata `Aku Cinta Padamu’ ke telinga langit. Setiap kali langit kendengar bisikan penuh cinta laut terhadapnya, langit tidak menjawab apa-apa , hanya tersipu-sipu malu dengan wajah kemerah-merahan.

Suatu hari, datanglah awan. Melihat kecantikan si langit, awan terus jatuh hati terhadap langit, bak cinta pandang pertama. Tetapi tentu sahaja langit hanya setia mencintai laut. Setiap hari, langit hanya mahu melihat laut sahaja. Awan berasa sedih tetapi ia tidak berputus asa mencari cara dan akhirnya mendapat satu akal. Awan mengembangkan dirinya seluas dan sebesar mungkin serta menyusup ke tengah-tengah di antara langit dan laut. Ia berusaha menghalangi pandangan langit dan laut terhadap satu sama lain.

Laut berasa marah kerana tidak dapat melihat langit. Laut mengeluarkan gelombangnya bagi mengusir awan yang mengganggu pandangannya. Tetapi tentu sekali usahanya tidak berhasil. Lalu datanglah angin yang sejak dulu mengetahui hubungan cinta langit dan laut. Angin berasakan perlu membantu langit dan laut menyingkirkan awan yang mengganggu perhubungan mereka yang sekian lama terjalin. Dengan tiupan keras dan kuat, angin meniup awan. Lantas terpecah-pecahlah awan menjadi berselerak ke banyak bahagian, sehingga ia tidak berupaya lagi melihat langit dengan jelas dan tidak mampu lagi untuk mengungkapkan perasaannya terhadap langit. Kerana rasa terseksa menanggung perasaan cinta yang menggunung tinggi terhadap langit, awan menangis sedih.

Hingga sekarang, kasih antara langit dan laut tidak dapat dipisahkan. Kita juga dapat melihat di mana mereka menjalin kasih. Setiap kali memandang ke hujung laut, di mana ada garisan horizon yang menemukan langit dan laut, di situlah mereka sedang berpacaran.

Wednesday, December 9, 2009

Salam Ukhuwah

Assalamualaikum wbt. Selamat datang ke blog saya, ahlan wasahlan. Ini merupakan percubaan pertama saya membuat blog. Tunjuk ajar, pandangan dan saranan anda sekalian amatlah dialu-alukan dan diucapkan ribuan terima kasih terlebih dahulu.